Home » » Sentuhan Emas Si Kudung

Sentuhan Emas Si Kudung

Seorang tukang emas yang rekaannya terjual ribuan pound memberitahu bagaimana dia mampu menghasilkan perhiasan yang rumit walaupun dilahirkan tanpa jari.

Annette Gabbedey, 48
Annette meletakkan alat di bawah balutan kulit 
di pergelangan tangannya untuk mereka batu permata.

Annette Gabbedey, 48, menghasilkan cincin, anting-anting dan rantai tangan yang bertatahkan berlian, baiduri serta batu permata berharga lain di bengkelnya di Frome, Somerset.

Namun, tukang emas yang mahir itu tidak menggunakan peralatan khas bagi membantu kerjanya dan berkata, dia tidak dapat bayangkan bagaimana mereka yang mempunyai jari mampu melakukan kerja sepertinya.

“Saya agak normal dan tidak cacat sepenuhnya.

Namun, saya menghargai mereka yang kagum dengan kebolehan saya untuk menghasilkan sesuatu.

“Membuat barang kemas sangat rumit dan perlu dilakukan menggunakan tangan.

Ramai bertanya bagaimana saya boleh hasilkan barang kemas, apalagi menjalani kehidupan seharian.

“Jawapan saya: Sebagaimana kamu boleh lakukan kerja dengan jari, begitu juga saya boleh melakukan kerja tanpa jari,” katanya.

Annette yang mengakui dia sentiasa mendapat sokongan dan dorongan keluarganya, belajar cara membuat barang kemas di sekolah serta kolej sebelum menjalani latihan dengan beberapa pakar barang kemas di Hatton Garden, London.

Dia berpindah ke Somerset 24 tahun lalu dan kini mempunyai reputasi sebagai antara tukang ukir dan pakar batu permata terbaik di Britain.

“Ia hanya persepsi bagaimana anda melihat diri sendiri dan bagi saya, saya dilahirkan sebegini tanpa melihat wujudnya perbezaan,” katanya.

Annette memakai balutan pergelangan tangan kulit yang digunakan untuk melakukan kerja, selain turut mempunyai alat untuk memegang serpihan batu permata.

“Saya mempunyai cara berbeza ketika melakukan sesuatu.

Tangan saya sangat sensitif - saya boleh merasai semua yang saya sentuh dan merasai banyak pergerakan menerusi tangan saya.

“Saya hanya tiada jari.

Saya ada sendi dan itu bermakna saya mempunyai ketangkasan untuk memegang barang kecil,” katanya.

Annette berkata, dia gembira untuk menjawab soalan daripada kanak-kanak yang hairan melihat keadaan tangannya.

“Mereka perlu belajar ketika usia muda yang keadaan saya masih normal dan dunia ini mempunyai pelbagai jenis orang.

“Orang melihat hasil kerja saya terlebih dulu dan kemudian apabila mereka melihat keadaan saya, mereka kagum kerana saya boleh menghasilkan sesuatu seperti itu.

Jadi, ia bukan isu besar,” katanya.

Permata paling mahal pernah dihasilkan Annette ialah rantai berlian dengan baiduri kuning keemasan 18 karat berharga £25,000 (RM137,954) yang dibuat untuk dirinya bagi memperingati ulang tahun ke-21 kerjayanya sebagai tukang emas.

“Ramai berdepan cabaran berbeza dan bagi saya...mungkin tangan saya.

“Namun, saya tidak melihatnya sebagai cabaran kerana memang keadaan tangan saya semula jadinya begini,” katanya.

[Sumber]

0 comments:

Post a Comment