Home » » Pembantu Juruterbang Rampas Pesawat

Pembantu Juruterbang Rampas Pesawat

Geneva: Lelaki yang merampas sebuah pesawat syarikat penerbangan Habsyah yang dalam penerbangan dari Addis Abbaba ke Rome ialah pembantu juruterbangnya sendiri.

Ethiopian Airlines Hijacked
Penumpang Ethiopian Airlines diselamatkan di Geneva.

Pegawai Lapangan terbang Geneva, tempat pesawat itu dipaksa mendarat berkata, lelaki berkenaan mengambil peluang untuk merampas pesawat itu dengan mengunci kokpit ketika juruterbangnya berada dalam tandas.

“Dia merasa dirinya tidak selamat di negaranya dan mahu mencari suaka politik di Switzerland,” kata jurucakap polis Geneva, Eric Grandjean.

Lelaki itu yang dilahirkan pada 1983 dan warga Habsyah menghubungi Lapangan Terbang Geneva dan memberitahu dia perlu mendarat untuk mengisi minyak.

“Selepas itu dia mengumumkan mengenai rampasan pesawat,” kata Grandjean.

Menurutnya, pesawat itu yang membawa 200 penumpang mendarat jam 6.02 pagi (waktu tempatan) dan pembantu juruterbang terbabit turun dari pesawat itu dengan mengguna tali yang dicampaknya dari tingkap kokpit.

“Dia tidak mempunyai senjata. Dia akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menahan tebusan dan berdepan dengan hukuman penjara 20 tahun jika didapati bersalah,” katanya. -AFP

0 comments:

Post a Comment