Home » » Perbelanjaan Tentera China USD$131.57 Bilion!

Perbelanjaan Tentera China USD$131.57 Bilion!

Beijing/Hong Kong: China semalam mengumumkan peningkatan tertinggi dalam perbelanjaan ketenteraannya dalam tempoh tiga tahun, sekali gus dilihat isyarat daripada Presiden Xi Jinping menunjukkan Beijing tidak akan mengendurkan ketegasannya di Asia, terutama di perairan yang dipertikaikan.


Kerajaan berkata, mereka akan menambah peruntukan pertahanan sebanyak 12.2 peratus tahun ini menjadi AS$131.57 bilion (RM430.4 bilion).

Antara lain, kata kenyataan itu, pertambahan peruntukan dibuat ekoran pembangunan senjata lebih maju dan mengukuhkan sistem pertahanan laut dan udara.

Peningkatan peruntukan dua angka itu berlaku hampir setiap tahun menjadikan ia yang kedua paling besar selepas AS sejak dua dekad lalu.

Penganalisis keselamatan serantau di Institut Lowy di Sydney, Rory Medcalf berkata, perkembangan itu membimbangkan jiran China, terutama Jepun.

Kata Medcalf, sesiapa yang menyangka Xi mungkin berminat menumpukan pembangunan domestik berbanding pelebaran tentera dalam kelembapan ekonomi telah “memandang rendah kesungguhan China membentuk persekitaran strategik” mereka.

Hubungan China dan Jepun semakin tegang apabila mereka berebut hak terhadap gugusan kepulauan batu tanpa penghuni di Laut China Timur.

Beijing juga menuntut 90 peratus daripada 3.5 kilometer persegi perairan Laut China Selatan yang dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas.

Turut membuat tuntutan ialah Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan. -Reuters

0 comments:

Post a Comment