Home » » Amaran Serangan Pengganas di China Sebelum Ini

Amaran Serangan Pengganas di China Sebelum Ini

Taipei (CNA): Sebuah laporan mendedahkan bahawa Taiwan telah menerima amaran pada awal bulan lalu mengenai ancaman serangan pengganas di China tetapi pihak berkuasa berkata, amaran itu berkemungkinan besar tidak berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines, Sabtu lalu.

Hilton-Beijing-Capital-Airport

Menurut Ketua Biro Keselamatan Nasional Taiwan (NSB), Tsai De-sheng, pihak berkuasa telah menerima laporan pada 4 Mac lalu mengenai amaran serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dan sistem kereta api bawah tanah bandaraya itu.

Bagaimanapun, beliau menolak hubung kait antara ugutan tersebut dengan insiden kehilangan pesawat itu.

Selain pihak berkuasa China, maklumat itu telah diserahkan oleh NSB kepada pejabat kabinet keselamatan dalam negeri Taiwan, pertubuhan perisikan tempatan lain, penguatkuasa undang-undang serta badan-badan lain yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal penerbangan.

Hasilnya, kata Tsai lagi, kawalan sekuriti di lapangan terbang Taiwan telah diperketatkan dan langkah-langkah tambahan telah diambil bagi memastikan penerbangan ke Beijing selamat.

China Airlines dipercayai merupakan syarikat penerbangan pertama yang digerakan dengan amaran itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Aeronautik Awam (CAA), Lee Wan-lee pula, CAA telah menerima amaran berbentuk ugutan serangan bom di lapangan terbang Beijing daripada China Airlines pada 4 Mac lalu.

Pegawai CAA lain pula menyatakan bahawa agensi itu masih belum dapat memastikan kesahihan amaran tersebut dan sama ada negara lain turut menerima ugutan yang sama.

Panggilan Misteri Seminggu Sebelum Kejadian

Sementara itu, China Airlines mendedahkan bahawa mereka telah menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa dirinya bekerja di bawah organisasi anti-pengganas yang berpangkalan di Perancis.

Tambah syarikat penerbangan itu, pemanggil berkenaan pada mulanya berkomunikasi sepenuhnya dalam Bahasa Perancis, namun bertukar kepada Bahasa Mandarin apabila pengedali ‘switchboard’ itu tidak memahami pertuturannya.

Panggilan itu diterima sejurus tragedi serangan di stesen kereta api Kunming, China pada 1 Mac lalu, yang menyaksikan lebih 30 orang terkorban.

Biro Penerbangan Polis berkata, mereka memandang amaran serangan itu secara serius, serta sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan dari masa ke semasa. -Mynewshub

0 comments:

Post a Comment