Home » , » ‘Bayangkan Britain Menjadi Syria’

‘Bayangkan Britain Menjadi Syria’

London: Sebuah klip video amal bagi menjelaskan kesan perang Syria ke atas seorang kanak-kanak perempuan di London kini tersebar meluas di Internet.

‘Bayangkan Britain Menjadi Syria’

Klip sepanjang 94 saat itu diterbitkan pertubuhan Save The Children yang berpangkalan di United Kingdom dan dimuat naik Khamis lalu.

Sehingga awal petang semalam, klip video berkenaan ditonton lebih 15 juta kali di YouTube.

Melalui rakaman itu, penonton diajak membayangkan “jika Britain adalah Syria” dan dimulakan dengan seorang kanak-kanak perempuan tersenyum meniup sembilan lilin di atas kek hari lahir.

Penonton kemudian dibawa melihat kanak-kanak terbabit dalam situasi berbeza - daripada suasana riang bertukar menjadi ketakutan perang.

Wajah kanak-kanak itu kelihatan tegang, kering, takut dan berdepan dengan letupan bom.

Video itu berakhir dengan adegan kanak-kanak terbabit diperiksa di sebuah pusat kesihatan tentera sebelum kelihatan meniup sebatang lilin di atas pinggan besi dan ditamatkan dengan mesej: “Hanya kerana ia tidak berlaku di sini tidak bermakna ia tidak terjadi.”

Menurut pertubuhan Save The Children itu, mereka berharap mesej berkenaan dapat disebarkan dengan meluas dan menggalakkan orang ramai berusaha menyelamatkan nyawa kanak-kanak Syria yang dalam konflik selama tiga tahun itu.

Jurucakapnya berkata, video berkenaan mengejutkan penonton dan gaya penceritaannya unik mendorong orang ramai membantu menyebarkannya.

“Itulah matlamat asal kami, iaitu mendorong oraang ramai memulakan perbincangan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, mereka mahu menyedarkan orang ramai di Britain mengenai krisis di Syria dan memberi kefahaman bagaimana perasaan hidup dalam negara yang terbabit dalam perang saudara.

Kira-kira 40 peratus sekolah di Syria musnah atau rosak akibat perang di Syria ketika ini, selain mengorbankan lebih 140,000 orang sejak Mac 2011. -AFP



0 comments:

Post a Comment