Home » » PM Singapura Terima Ugutan Bunuh Di Facebook

PM Singapura Terima Ugutan Bunuh Di Facebook

SINGAPURA – Polis pulau ini menyatakan semalam bahawa pihaknya menyiasat beberapa gambar peluru di laman sosial Facebook yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Lee Hsien Loong

“Kami mengesahkan laporan polis sudah dibuat dan siasatan masih dijalankan,” kata seorang jurucakap Pasukan Polis Singapura tanpa mengulas lanjut.

Sehingga kini, ugutan dalam talian jarang berlaku di pulau ini yang dianggap antara masyarakat paling selamat di dunia. Malah, negara ini memiliki undang-undang kawalan senjata api yang ketat.

Kandungan muka surat Facebook GM Phoneix pada Jumaat lalu menunjukkan gambar sebutir peluru diletakkan pada fabrik bersama keterangan: “Hsien Loong marilah bermain. Cari saya jika kamu dapat kerana peluru ini akan menembusi kepala kamu tidak lama lagi.”

“Saya terlupa sesuatu. Ada seorang lelaki memakai penutup kepala hitam meninggalkan sebutir bom di Lapangan Terbang Changi, tak pasti pula di dalam beg mana,” tambahnya.

Mesej kedua pada Sabtu lalu pula menunjukkan gambar dua butir peluru dalam sebuah majalah.

“Hsien Loong setiap orang berhak mendapat peluang kedua,” kata keterangan yang disertakan.

Mesej ketiga kelmarin menunjukkan paparan skrin bersama notis bahawa muka surat itu telah dilaporkan kepada pihak pengurusan Facebook kerana mempromosi penjualan senjata api, manakala pembacanya pula terhad kepada golongan berusia 18 tahun dan ke atas.

Komen pentadbir akaun Facebook GM Phoenix pula tertera perkataan ‘Lmao’ yang bermaksud ketawa terbahak-bahak.

Bagaimanapun, semua tiga mesej itu yang memiliki tag akaun Facebook rasmi Hsien Loong, masih tertera pada laman GM Phoenix setakat semalam.

Di bawah Akta Jenayah Senjata Api Singapura, sesiapa yang memiliki senjata api atau peluru secara haram boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan.

Mereka yang didapati bersalah menggunakan senjata api haram pula boleh dihukum mati.

Laman Facebook GM Phoenix yang mempunyai seramai 7,970 pengikut mengandungi pelbagai kandungan mengenai permainan dalam talian yang dikemas kini secara berkala.–AFP

0 comments:

Post a Comment