Home » » Pekerja Kilang Berjalan 32km Sehari Diberi Hadiah Kereta

Pekerja Kilang Berjalan 32km Sehari Diberi Hadiah Kereta

DETROIT – Seorang pekerja kilang, James Robertson yang berjalan kaki lebih daripada 32 kilometer (km) setiap hari untuk ke tempat kerja hampir sedekad yang lalu menerima kejutan apabila dihadiahkan sebuah kereta Ford model terbaharu.

James Robertson

Robertson yang menjadi sensasi di internet dan media massa mengenai kegigihannya berjalan kaki setiap hari untuk bekerja turut menerima sumbangan daripada orang ramai lebih AS$310,000 (RM1.1 juta).

Dia terpaksa berjalan kaki berikutan tidak mampu membeli kereta baharu selepas keretanya rosak sejak sembilan tahun lalu, manakala laluan ke tempat kerja tidak mempunyai kemudahan pengangkutan bas.

Walaupun wang sumbangan yang dikumpulkan bertujuan untuk membolehkan dia membeli sebuah kereta baharu, pengedar kereta memutuskan memberikan sebuah kereta model terbaharu, Ford Taurus bernilai AS$37,000 (RM132,357).

“Sejak kereta rosak, saya memang tidak mampu untuk membeli yang baharu. Oleh itu, saya terpaksa berjalan kaki sejauh 32km setiap hari demi meraih pendapatan sebanyak AS$10.55 (RM37.70) untuk satu jam di sebuah kilang,” katanya.

Sumbangan kereta berkenaan diberikan oleh wakil pengedar Ford, Blake Pollock, manakala inisiatif dana bantuan pula dilakukan oleh seorang pelajar universiti, Evan Leedy.

Wang sumbangan pula akan dijadikan dana bagi perubatan, penyelenggaraan kereta dan kos petrol Robertson. –Agensi

0 comments:

Post a Comment