Home » , » Rakyat Singapura Ketagih Internet

Rakyat Singapura Ketagih Internet

Singapura yang dikenali sebagai negara termaju di Asia Tenggara kini berhadapan dengan masalah ketagihan internet dan gajet digital oleh sebilangan besar rakyatnya terutama anak-anak muda.

Ketagih internet

Gejala yang semakin membimbangkan menyebabkan pakar psikiatri mendesak pihak berkuasa negara itu agar meletakkan ketagihan tersebut sebagai di luar kawalan dan perlukan tindakan segera.

Para psikiatri juga mahu pihak pemerintah kota Singa itu menyertai negara-negara lain di dunia untuk mengatasi masalah ketagihan tersebut.

Mengikut laporan daripada firma pemantauan media massa Nielsen, Singapura dan Hong Kong mencatatkan masalah gangguan yang tertinggi di rantau Asia Pasifik pada tahun 2013.

Kajian sebuah syarikat perkhidmatan maklumat global, Experian pula menyebut kira-kira 87 peratus daripada 5.4 juta penduduk Singapura mempunyai telefon pintar berkamera yang bersambungan terus dengan talian internet.

Warga Singapura juga dikatakan telah menghabiskan kira-kira 38 minit setiap sesi di laman sosial Facebook iaitu dua kali lebih lama berbanding rakyat Amerika Syarikat (AS).

Pakar Psikiatri di Pusat Perubatan Gleneagles, Singapura, Adrian Wang berkata, ketagihan digital perlu dikategorikan sebagai gangguan psikiatri.

Menurut beliau, ramai pesakitnya mengadu menghadapi pelbagai masalah berkaitan penggunaan telefon pintar, namun mereka cuba menyelesaikan sendiri menerusi perbincangan dengan rakan-rakan di alam maya.

Gangguan psikiatri

“Saya pernah merawat seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun yang mengalami gangguan psikiatri kronik. Dia berhadapan tekanan setelah bapanya merampas komputer ribanya.

“Tindakan si bapa memotong akses internet di rumah mereka telah menyebabkan remaja itu keluar rumah semata-mata untuk mencari akses internet. Dia juga cuba mengakses internet tanpa wayar di rumah jiran,” katanya.

Akhirnya remaja tersebut menjadi tidak menentu sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital dan diberi rawatan kaunseling.

“Kami hanya perlu menghentikan tabiatnya. Dia kini semakin baik dan telah keluar dari hospital setelah pulih daripada gangguan tersebut,” terangnya lagi.

Ketagihan internet sebagai tindakan luar kawal tidak disenaraikan dalam rawatan psikiatri menyebabkan penyakit baharu itu memerlukan kajian terperinci.

Gejala itu pula turut menyebabkan peningkatan pesakit leher.

Ia berlaku berikutan kekerapan pengguna gajet pintar menundukkan kepala mereka semasa menggunakan peranti mudah alih itu yang sentiasa dibawa sepanjang masa.

Masalah yang sedang melanda Singapura bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana terdapat beberapa buah negara telah menubuhkan pusat-pusat rawatan untuk penagih internet muda terutamanya negara Asia seperti Korea Selatan, China dan Taiwan.

Sebagai contoh, kajian yang dilakukan oleh pihak pemerintah Korea Selatan pada tahun lalu menunjukkan bahawa hampir 20 peratus remaja negara itu mengalami ketagihan terhadap telefon pintar.

Sebuah stesen penyiaran China, CCTV pula melaporkan langkah kerajaan negara itu menubuhkan kira-kira 300 pusat ketagihan internet untuk merawat kira-kira empat juta golongan muda negara itu.

Ketika ini terdapat dua pusat kaunseling untuk merawat ketagihan digital di Singapura iaitu Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Kebangsaan dan Pusat Komuniti Touch.

Penolong Profesor Komunikasi, Universiti Teknologi Nanyang (UTN), Singapura, Trisha Lin beranggapan bahawa golongan muda lebih berisiko menghadapi gangguan tersebut kerana gaya hidup.

Jelas Lin, ketagihan itu disebabkan ketidakupayaan mengawal keinginan, sukar berenggang dengan telefon pintar, hilang fokus belajar atau di tempat kerja dan keinginan untuk sentiasa memeriksa telefon bimbit.

Beliau turut memberi amaran kepada ibu bapa supaya tidak memberikan telefon pintar atau komputer jenis tablet semata-mata untuk menenangkan anak-anak mereka.

“Situasi ini sama seperti masa dahulu ketika televisyen digunakan sebagai pengasuh kanak-kanak. Kini, ia menjadi lebih teruk kerana skrin tersebut berada di tangan anda di mana-mana sahaja,” ujarnya. –AFP

0 comments:

Post a Comment