Home » » Kumpulan Militan Culik 20 Ibu Muda!

Kumpulan Militan Culik 20 Ibu Muda!

MAIDUGURI, Nigeria - Sekumpulan anggota kumpulan militan Boko Haram yang lengkap bersenjata bertindak menculik sekurang-kurangnya 20 ibu muda dekat sebuah bandar di timur laut Nigeria, menurut beberapa sumber.

militan Boko Haram

Kumpulan militan tersebut pernah menculik lebih 200 pelajar perempuan di sekitar bandar berkenaan, Chibok hampir dua bulan lalu.

Setakat ini, terdapat laporan bercanggah berhubung jumlah wanita yang diculik dengan seorang pemimpin tempatan memberitahu, bilangan mereka melebihi 40 orang.

Penculikan terbaharu pada Sabtu lalu itu berlaku di sekitar kampung Garkin Fulani yang terletak 8 kilometer dari Chibok, dalam negeri Borno.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan lelaki bersenjata itu muncul sekitar waktu tengah hari dan menculik 20 wanita serta tiga pemuda yang ditugaskan untuk menjaga kampung tersebut," kata seorang anggota pasukan kawalan kampung, Alhaji Tar.

"Semua lelaki di kampung tersebut keluar untuk menggembala lembu apabila kumpulan penculik itu datang," tambahnya.

Setakat ini, masih tiada maklumat tentang lokasi wanita tersebut dibawa manakala kumpulan penculik juga tidak membuat apa-apa permintaan.

Dalam pada itu, sebuah persatuan penternak lembu tempatan memberitahu, seramai 40 orang ibu muda di kampung tersebut dibawa menaiki beberapa buah kenderaan menuju ke satu lokasi yang tidak diketahui.

Kumpulan Boko Haram berjuang untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam di utara Nigeria. -AFP

0 comments:

Post a Comment