Home » » Tiada Elemen Pengganas Dalam Tragedi QZ8501

Tiada Elemen Pengganas Dalam Tragedi QZ8501

JAKARTA – Para pegawai penyiasat Indonesia semalam memberitahu bahawa mereka tidak menemui bukti yang menunjukkan ada elemen pengganas terlibat dalam tragedi pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada 28 Disember lalu.

Tragedi QZ8501

Seorang pegawai penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Andreas Hananto memberitahu agensi berita Reuters bahawa kumpulan penyiasat tidak menemui sebarang unsur ancaman dalam rakaman suara kokpit pesawat QZ8501.

“Tiada. Sekiranya ada unsur pengganas kami pasti menemui ancaman atau sesuatu yang berkaitan dengannya.

Ujarnya, pasukan penyiasat sudah mendengar keseluruhan rakaman suara kokpit QZ8501 tetapi baru menganalisa separuh daripada rakaman berkenaan.

Seorang lagi pegawai penyiasat, Nurcahyo Utomo berkata, mereka tidak mendengar suara orang lain kecuali suara juruterbang dan pembantunya di dalam rakaman itu.

“Kami juga tidak mendengar sebarang bunyi tembakan senjata api atau letupan dalam rakaman suara tersebut,” ujarnya.

Pesawat milik AirAsia Indonesia yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura.

Sehingga kini, sebanyak 50 mayat penumpang berjaya ditemui dan ramai mangsa dipercayai masih terperangkap di dalam badan pesawat berkenaan.

Pesawat jenis Airbus A320-200 itu dinaiki oleh 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia, Britain dan Perancis.

Pesawat itu terhempas ke dalam Laut Jawa dekat Pulau Belitung, Indonesia selepas menempuh cuaca buruk. –Reuters

0 comments:

Post a Comment