Home » » Senaskah Charlie Hebdo Dijual RM63,000!

Senaskah Charlie Hebdo Dijual RM63,000!

PARIS – Sambutan di luar jangkaan terhadap akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo edisi khas pada Rabu bukan sahaja menyebabkan ia terpaksa dicetak semula sehingga lima juta naskhah daripada sasaran asal hanya setakat tiga juga naskhah.

Charlie Hebdo

Bahkan, penerbitan berhaluan kiri itu yang lazimnya cuma dicetak 60,000 naskhah setiap minggu, tiba-tiba mencipta rekod sebagai akhbar paling tinggi harganya apabila dibida €15,000 (RM62,884) menerusi laman lelongan terkenal eBay pada Khamis.

Harga ‘gila’ tersebut dicatat selepas pihak pengurusan laman jualan secara talian itu mengumumkan larangan terhadap pelanggannya yang cuba mengimbas dan menyalin semula Charlie Hebdo secara digital ekoran naskhah fizikal habis dijual di kedai.

Keluaran itu turut memecah rekod sebagai akhbar paling tinggi edaran dalam sejarah Perancis mengatasi Ouest-France dengan kira-kira 800,000 naskhah tetapi gagal mengatasi akhbar terlaris di dunia, Asahi Shimbun di Jepun dengan tujuh juta naskhah.

Dianggarkan 700,000 naskhah yang dijual pada harga runcit €3 (RM12.60) laris dijual dalam tempoh dua jam di seluruh Perancis susulan keterujaan pembeli selepas tragedi serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo di sini pada 7 Januari lalu.

Insiden berdarah itu menyebabkan ketua pengarangnya, Stephane Charbonnie dan sembilan petugas akhbar tersebut selain dua anggota polis maut ditembak dua lelaki tempatan sebelum suspek berjaya dibunuh pasukan keselamatan beberapa hari kemudian.

Peristiwa terburuk dalam sejarah itu ekoran sikap Charlie Hebdo sejak diterbitkan pada 1970 memperjuangkan kebebasan bersuara melampaui batas termasuk menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW kononnya atas nama prinsip kebebasan bersuara.

Malah muka hadapan keluaran khas sebagai memperingati tragedi serangan itu turut menampilkan karikatur Rasulullah SAW kononnya sedang berasa sedih sambil memegang sepanduk bertulis ‘Je suis Charlie’ atau bermaksud ‘Saya ialah Charlie’.

Sehari selepas insiden tragik itu, laman eBay turut ‘diserbu’ terlalu ramai pelanggan dari seluruh dunia bersaing untuk membeli naskhah-naskhah lama Charlie Hebdo yang pernah cetus kontroversi sehingga menyebabkan harga bidaan mencecah ribuan euro.

Pihak eBay dalam pada itu memaklumkan, semua hasil komisen daripada jualan akhbar tersebut dan segala koleksi arkib Charlie Hebdo akan disumbangkan semula kepada waris petugas penerbitan itu yang terbunuh sebagai tanda simpati. –Agensi

0 comments:

Post a Comment