Home » » Internet Korea Utara Lumpuh Kena Godam

Internet Korea Utara Lumpuh Kena Godam

SEOUL – Setelah Hollywood kecoh pengeluar filem terbesar dunia, Sony Pictures digodam awal bulan ini gara-gara filem satira politik, The Interview yang mempermainkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, kini berlaku keadaan sebaliknya ke atas negara komunis itu.

Korea-Utara-Kena-Godam

Beberapa firma keselamatan siber antarabangsa mengesahkan, kesemua akses Internet di Korea Utara lumpuh lebih sembilan jam kelmarin, rekod ‘blackout’ terburuk dalam sejarah dunia dan dilaporkan baharu mulai pulih secara berperingkat-peringkat lewat semalam.

Media Korea Selatan hari ini melaporkan, jaringan Internet negara jiran itu terputus sepenuhnya hampir seharian pada Isnin lalu termasuk agensi berita rasmi Korea Utara, Korea Central News Agency dan laman web akhbar rasmi milik pemerintah, Rodong Sinmun.

Berbeza dengan serangan penggodam ke atas Sony Pictures pada 9 Disember lalu yang dilakukan sebuah kumpulan pro-Korea Utara dikenali sebagai GOP atau Guardian of Peace, kali ini tidak jelas siapa dan punca insiden Internet di negara komunis itu terputus.

Earl Zmijewski, naib presiden Dyn Research, firma keselamatan siber ternama memberitahu agensi berita AFP, ia berlaku secara kebetulan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran akan bertindak balas ke atas Korea Utara.

“Minggu lalu FBI (Biro Siasatan Persekutuan) dakwa perisik Pyongyang godam Sony Pictures hingga banyak filem terbaharu syarikat gergasi itu ‘lumpuh’, namun rejim komunis itu menafikan dan tiba-tiba Internet Korea Utara terpadam serentak Isnin,” katanya.

Negara itu cuma ada empat rangkaian Internet dan perlu melalui Uriminzokkiri, portal penapis pemerintah yang meliputi Twitter dan Flickr, tetapi semua jaringan dikawal China Netcom, anak syarikat di bawah firma telekomunikasi China Unicom, jelas Zmijewski.

Justeru, ramai pakar siber tidak menolak kemungkinan Beijing terlibat ‘menggodam’ Korea Utara atas permintaan AS sebagai tindak balas sekali gus sengaja dirancang untuk Sony Pictures menuntut ganti rugi seperti amaran ditegaskan Obama pada minggu lalu.

Bagaimanapun, ada juga penganalisis merumuskan kejadian malang menimpa Korea Utara itu secara kebetulan memang masalah teknikal yang tidak dapat dielak kerana sistem Internet di negara tersebut memang perlahan dan bermasalah sejak dari dulu lagi. –Agensi

0 comments:

Post a Comment